fb fb fb fb fb

Seludup rokok, polis tahan tiga suspek

KOTA BHARU, 2 November- Polis Kelantan berjaya merampas 70,000 kotak rokok seludup dengan nilai RM350,000 di stor berhampiran sebuah rumah tidak bernombor, di Jalan Bachok, Kg. Padang Mokan, Peringat, di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya telah mengekori kenderaan suspek dari Terengganu, sebelum menahan tiga suspek yang berusia 23 hingga 47 tahun di tempat kejadian semasa sedang memunggah kotak rokok daripada lori ke dalam stor.

"Semasa serbuan dibuat ialah ketika mereka memunggahkan kotak-kotak yang dipercayai mengandungi rokok ke dalam sebuah rumah.

"Dan rumah itu dipercayai sebagai stor sebab itulah kita mengekori kenderaan berkenaan supaya kita dapat mengetahui di mana simpanan rokok ini sebelum diedarkan di pasaran tempatan," katanya.

(Datuk Muhamad Zaki Harun)

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata, hasil siasat mendapati suspek telah menjalankan aktiviti penyeludupan rokok sebanyak tiga kali sejak Mei 2022 dan dipercayai untuk pasaran di Kelantan.

pihaknya juga merampas sebuah lori dan dua buah kereta yang digunakan dalam kes penyeludupan tersebut.

Ketiga-tiga suspek direman bagi membantu siasatan.

Media Baharu