BANGI, 2 November - Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) mempertemukan 21 kontinjen agensi agama persekutuan dan negeri dari seluruh negara dalam pelbagai acara kejohanan sukan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, program yang sebelum ini hanya melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) ini turut diperluas dengan penyertaan agensi-agensi agama bawah JAKIM.
"Penyertaan daripada kalangan agensi negeri dan juga agensi persekutuan, saya mengharapkan program seperti ini, seperti mana saya sebut tadi, lebih kepada soal untuk meningkatkan ukhuwah dalam kalangan kita.
"Mungkin secara tak langsung pulak, kita sebenarnya dalam masa sama kita telah menganjurkan satu konvensyen sebagai pengisian dalam untuk melestarikan agensi Islam kita ini sesuai dengan revolusi 4.0 untuk kita juga tidak ketinggalan supaya agensi Islam kita tidak ketinggalan dan selari dengan pentadbiran di negara kita pada hari ini," katanya pada majlis program IJPAM.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Datuk Idris Ahmad)
Beliau turut mengingatkan bahawa kebersamaan dan kesatuan merupakan nadi kekuatan bagi agensi agama di negara ini dalam menghadapi cabaran pengurusan hal ehwal Islam yang semakin mencabar.
IJPAM adalah kejohanan sukan,sebelum ini disebut Kejohanan Sukan Jabatan Agama (KESUJA).
Kejohanan itu bermula semalam sehingga 4 November, berlangsung di UNITEN dan ILSAS di Bangi, Selangor.
Sebanyak tujuh acara sukan dipertandingkan iaitu Bola Sepak 9 Sebelah, Badminton Berpasukan, Bola Jaring, Bola Tampar Lelaki dan Wanita, Sepak
Takraw Antara Regu, Ping Pong Berpasukan dan Bowling Berpasukan.
Seramai 1,875 orang peserta mengambil bahagian, dengan 1,224 peserta lelaki dan 651 peserta wanita.
Selain kejohanan sukan, IJPAM turut menganjurkan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam yang akan disempurnakan oleh Yang Berbahagian Tan Sri Mohd Zuki Ali,Ketua Setiausaha Negara.