KUALA LUMPUR, 10 Mac- Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) 2023 edisi kedua yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula hari ini berpotensi mengukuhkan industri halal negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bertemakan ‘Selangor, Gerbang Halal Antarabangsa’ ia menghimpunkan kira-kira 200 pempamer dari dalam dan luar negara.
(Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari)
"Ini adalah sebagai tanda keyakinan kita dan juga usaha kita bersungguh-sungguh untuk menjadikan Selangor sebagai pintu masuk utama ke dalam rantau ini.
"Kita buat perkara ini, saya percaya ia akan membantu Malaysia untuk menjual ataupun memperkenalkan produk usahawan dan juga negara kita bersama-sama", katanya selepas merasmikan SELHAC 2023 di WTCKL, hari ini.
"Jadi kita terus bekerja memenuhi impian kita dan juga bekerja memastikan apa yang kita sebutkan benar-benar dapat dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
Amirudin berkata, komponen utama persidangan ini meliputi forum perniagaan, kewangan Islam, pameran, padanan perniagaan, rantaian bekalan halal dan pemasaran digital.
Penganjuran selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang menyasarkan nilai padanan perniagaan sebanyak RM50 juta selain kehadiran lebih 8,000 pengunjung.