SHAH ALAM, 17 Oktober - Kerajaan Selangor mengumumkan beberapa ketetapan penting susulan perkembangan semasa melibatkan keselamatan pelajar, kesihatan awam dan bantuan bencana yang diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan ibu bapa dan pelajar, susulan tragedi pelajar maut ditikam di Bandar Utama baru-baru ini.
Antara tindakan yang akan dilaksanakan termasuk penggunaan alat pengesan logam, pemasangan kamera litar tertutup, serta sistem notifikasi pintar yang menghubungkan ibu bapa dan pihak sekolah.
Langkah itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
Sementara itu, bagi menangani penularan penyakit Influenza A, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta untuk pemberian vaksin percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah utama Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.
Dalam pada itu, susulan kejadian ribut di Sijangkang, seramai 64 ketua keluarga akan menerima bantuan RM1,000 setiap seorang, manakala 14 mangsa yang cedera turut menerima bantuan sama.
"Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM320,000 bagi kerja baik pulih Sekolah Rendah Agama Kampung Medan yang rosak teruk akibat kejadian itu," menurutnya dalam satu kenyataan.