GOMBAK, 17 Oktober - Sempena sambutan Deepavali, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menyediakan 124 lokasi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang diadakan di seluruh Selangor mulai 16 hingga 22 Oktober.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, orang ramai boleh menyemak senarai lokasi melalui media sosial rasmi KPDN Selangor.
"Selain daripada kawalan harga di bawah Skim Harga Maksimum kita juga menjalankan inisiatif Program Jualan Rahmah MADANI dengan menawarkan pelbagai barangan pada harga sekurang-kurangnya 30% lebih rendah.
"Seperti yang kita dapat lihat sendiri, pasaraya TF Value Mart sepanjang dua hari Program Jualan Rahmah MADANI disini sebanyak 27 barangan seperti barangan kering, minyak masak botol, makanan dalam tin, dan barangan kebersihan telah dijual dengan harga yang amat baik, amat-amat kompetitif dan juga tiga item di bawah Skim Harga Maksimum iaitu tomato, bawang merah besar dan daging kambing biri-biri juga dijual dengan harga yang amat murah", katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di sebuah pasaraya di Batu Caves, Selangor.
Menurutnya, sejak 2023 hingga kini, sebanyak 5,158 pemeriksaan telah dijalankan dengan 98 kesalahan dikesan termasuk tidak menggunakan tanda harga khas merah jambu, menjual melebihi harga maksimum dan gagal mempamerkan tanda harga.
Beliau turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang melanggar peraturan sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali pada 16 hingga 22 Oktober ini.