PUTRAJAYA, 17 Oktober - Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menaikkan had umur minimum pengguna akaun media sosial daripada 13 kepada 16 tahun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bertujuan memastikan perlindungan lebih baik terhadap pengguna muda di alam maya.
Perkara itu juga telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
"Ini sama seperti yang ada dilakukan di beberapa negara termasuk Australia dan Indonesia.
"Cara had umur ini akan dikuatkuasakan adalah melalui pendaftaran berdasarkan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan juga MyDigital ID," katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaannya akan diselaraskan dengan undang-undang sedia ada termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi serta bekerjasama dengan beberapa pihak bagi meneliti pelaksanaan sistem pengesahan elektronik (eKYC) yang digunakan dalam aplikasi seperti Touch ’n Go eWallet dan Grab.
Sementara itu Datuk Fahmi memaklumkan satu perbincangan secara terperinci akan diadakan minggu depan , melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama syarikat penyedia palform sosial media di Singapura.
"Saya tegaskan sekali lagi kita akan adakan perbincangan dengan pihak platform media sosial yang telah diputuskan pada hari ini adalah peringkat dasar.
"Kita akan maklumkan setelah saya mendapat laporan hasil daripada perbincangan di Singapura," katanya.