Selangor tegas tangani penempatan haram tanpa kira latar belakang penghuninya

Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) semasa gimik perasmian Majlis Pembukaan Operasi Loji Sisa ke Tenaga (WTE) 1 

KUALA SELANGOR, 12 Jun – Semua penempatan haram di Selangor akan ditangani mengikut peruntukan undang-undang termasuk tindakan perobohan tanpa mengira latar belakang penghuninya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan berdasarkan aspek pentadbiran, pengurusan tanah, syarat nyata tanah dan pematuhan peraturan PBT, bukan atas dasar kewarganegaraan.
  • Pihak berkuasa mengeluarkan notis dan amaran sebelum penguatkuasaan; kebanyakan kes melibatkan penggunaan tanah bercanggah atau melebihi keluasan dibenarkan.
  • Kerajaan mesti patuhi proses perundangan, beri ruang pemilik memulihkan tanah sebelum tindakan tegas seperti perampasan atau perobohan.
  • Pegawai daerah jamin tindakan segera termasuk merobohkan struktur haram; negeri dan PBT sediakan logistik bagi penguatkuasaan dan pemindahan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata tindakan terhadap penempatan haram tidak dibuat berdasarkan sentimen atau faktor kewarganegaraan, sebaliknya berpandukan aspek pentadbiran, pengurusan tanah, syarat nyata tanah serta pematuhan kepada peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Isu ini bukan dibuat berdasarkan sama ada melibatkan Rohingya, Indonesia, Vietnam, Nepal atau mana-mana pihak lain.

“Isunya berkaitan pentadbiran dan pengurusan, kelulusan tanah, pengurusan tanah serta kelulusan PBT,” katanya kepada media selepas melancarkan Majlis Pembukaan Operasi Loji Sisa ke Tenaga (WTE) 1 di Jeram, di sini, hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri telah mengambil pelbagai tindakan terhadap penempatan haram termasuk mengeluarkan notis dan amaran kepada pihak terlibat sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

Kebanyakan kes membabitkan penggunaan tanah yang bercanggah dengan syarat nyata tanah atau pembangunan, melebihi keluasan kawasan dibenarkan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri perlu mematuhi proses perundangan ditetapkan termasuk memberi ruang secukupnya kepada pemilik tanah untuk memulihkan keadaan tanah sebelum tindakan lebih tegas seperti perampasan dilaksanakan.

Pada masa sama, beliau berkata pihak pegawai daerah memberi jaminan bahawa tindakan segera akan diambil terhadap penempatan yang melanggar syarat termasuk perobohan dan perampasan tanah mengikut prosedur ditetapkan, sekiranya perlu.

“Proses perampasan tanah bukanlah satu perkara mudah, jadi kita kena beri ruang (prosedur undang-undang). Bagaimanapun, saya telah mendapat jaminan daripada pihak DO (pegawai daerah) bahawa tindakan segera akan dibuat untuk merobohkan struktur haram tersebut.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong dan membantu operasi penguatkuasaan tersebut, termasuk menyediakan logistik seperti lori melalui PBT bagi memindahkan barangan atau mengeluarkan warga asing berkenaan,” katanya.

Datuk Seri Amirudin berkata isu berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) pula terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), manakala kerajaan negeri dan PBT bersedia membantu dari aspek logistik serta penguatkuasaan berkaitan perbandaran dan penggunaan tanah.

Rabu lepas, beliau memaklumkan pelbagai tindakan diambil agensi kerajaan sejak 2016 bagi menangani isu bangunan penempatan etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pada hari sama, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat memaklumkan satu tindakan perobohan bangunan kediaman bertingkat itu akan dilaksanakan mengikut undang-undang. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.