
MASJID TANAH, 12 Jun – Lebih 140,000 anak Melaka telah menerima manfaat pelbagai program dan bantuan pendidikan yang dilaksana kerajaan negeri sepanjang tiga tahun lepas.
- Peruntukan lebih RM196 juta disalurkan untuk melaksanakan program dan bantuan pendidikan.
- Kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan dan akses pendidikan untuk pelajar keluarga berpendapatan rendah.
- Yayasan Pelajaran MARA menyumbang RM10,000 untuk manfaat 100 pelajar asnaf dan keluarga B40.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata lebih RM196 juta diperuntukkan bagi melaksana kesemua program dan bantuan tersebut.
Ia mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap pembangunan modal insan dan akses pendidikan terutama untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Inisiatif tersebut bertujuan menyantuni pelajar dan memberi suntikan motivasi bagi membantu mereka mencapai masa depan yang lebih cemerlang dalam persekitaran yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau menyatakannya ketika berucap pada Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, Yayasan Pelajaran MARA menyumbang wang tunai berjumlah RM10,000 untuk manfaat 100 pelajar daripada kumpulan asnaf dan keluarga B40.