fb fb fb fb fb

Selangor sasar 15% sisa e-waste dikumpul dalam tempoh dua tahun

Datuk Seri Amirudin Shari ditemui media selepas melancarkan program e-waste peringkat negeri Selangor di Shah Alam

SHAH ALAM, 11 Julai- Kerajaan negeri Selangor menyasarkan 15 peratus sisa elektrik dan elektronik, e-waste dikumpulkan dalam tempoh dua tahun menerusi program pengurusan e-waste yang dilancarkan hari ini.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, program ini dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran berkaitan pengurusan e-waste yang lestari serta menggalakkan ekonomi kitaran bagi peralatan elektrik dan elektronik.

"Setakat ini yang saya sebut dalam ucapan saya tadi hanya satu peratus daripada keseluruhan yang ada dan Selangor menyumbang jumlah yang besar 280,000 tan metrik menjelang tahun 2025.

"Kalau ia tidak diatur sekarang dengan jumlah pertumbuhan penduduk yang tinggi ia akan memberi kesan yang besar,"katanya.

Jelas Amirudin, sistem pengumpulan e-waste yang diperkenalkan ini memberi perkhidmatan secara 'Door To Door' kepada pengguna yang ingin menghantar e-waste ke tempat pengumpulan yang sah.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program e-waste peringkat negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Sistem pengumpulan e-waster berkenaan sangat mudah diaplikasikan dengan mengimbas QR Code yang disediakan, mengisi borang secara online dan pihak syarikat pengumpulan e-waste yang sah akan menghubungi pengguna dengan segera melalui aplikasi Whatsapp.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE