KUALA LUMPUR, 29 Februari- Selangor merekodkan jumlah Pendatang Tanpa Izin (PATI) tertinggi, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak.
Ke arah itu, jelas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, usaha membendung terus dipergiatkan menerusi penguatkuasaan berkala.
Jelasnya, bagi tempoh 1 Januari 2022 sehingga 27 Februari lalu, sejumlah 20,880 operasi penguatkuasaan dilaksana Jabatan Imigresen dengan jumlah tangkapan sebanyak 58,508 PATI.
“Jumlah serbuan dan tangkapan ini ialah manifestasi kepada konsistensi kita untuk menangani perkara ini," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu Saifuddin turut mengalu-alukan orang ramai untuk melapor sekiranya wujud salah laku pegawai.
Ini khususnya membabitkan Agensi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen yang memainkan peranan penting dalam mengawal kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI).
"Kalau berlaku umpamanya berulang kembali insiden dan dikhuatiri ada elemen isu integriti misalnya saya pohon diangkat kepada saya kerana dalam agensi penguatkuasa seperti Imigresn yang menguruskan PATI adalah menjadi keutamaan kami," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor yang mengesyaki wujud elemen salah laku dalam aspek penguatkuasaan PATI di kawasan berkenaan.