SHAH ALAM, 29 Ogos - Selangor bakal memperkenalkan program baharu pembelajaran sains dan matematik berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kefahaman dan pencapaian pelajar.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, modul tambahan itu akan disertakan dengan latihan khusus kepada guru bagi memastikan penyampaian lebih berkesan serta mudah diadaptasi di sekolah-sekolah.
“Sebagaimana Tuisyen Rakyat yang kita adaptasi, kita juga akan melaksanakan intervensi menyeluruh dalam sains, teknologi dan matematik. Supaya pencapaian pelajar meningkat, kefahaman mereka bertambah baik, dan akhirnya menjadi asas kepada pembinaan sebuah bangsa pencipta menjelang 100 tahun Malaysia,” katanya.
Beliau menegaskan, inisiatif tersebut selaras dengan fokus Selangor untuk mendepani perkembangan teknologi digital dan memastikan generasi muda lebih bersedia menghadapi cabaran dunia moden.