fb fb fb fb fb

Edaran Jalur Gemilang semarakkan patriotisme, tingkatkan kesedaran siber

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang awam / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Kementerian Komunikasi dengan kerjasama CelcomDigi mengadakan program edaran Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan, di sini, hari ini.

Sebanyak 700 Jalur Gemilang diagihkan kepada pengguna di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek di ibu negara.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching turut hadir memeriahkan program berkenaan serta beramah mesra dengan para pengguna LRT di stesen tersebut.

"Saya berasa sangat gembira kerana kita dapat membawa Jalur Gemilang ke sini. Kita dapat lihat para pengguna di Stesen Masjid Jamek pada mulanya agak terkejut, namun mereka menerima baik inisiatif ini. Saya berharap usaha kecil ini dapat menyemarakkan lagi semangat kita semua untuk menyambut Hari Kebangsaan."

Turut diedarkan, risalah 'Trend Terkini Jenayah Komersil' bagi mempromosikan program televisyen 13 episod berdurasi 10 minit, berjudul Kisah Benar : Scam Siber yang kini ditayangkan di sebuah rangkaian televisyen swasta pada setiap hari Selasa.

"Jadi, ini merupakan satu usaha yang sangat murni dan amat dialu-alukan.

Kita sedia maklum bahawa jenayah dalam talian, khususnya penipuan siber atau 'cyber scam', semakin berleluasa. Saya percaya pihak kementerian, melalui MCMC, RTM, BERNAMA dan lain-lain, telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran orang awam agar tidak mudah menjadi mangsa penipuan," katanya ketika ditemui media di program 'Scam Awareness Merdeka Walkabout: Towards a Safer and Resilient Digital Malaysia, di sini, hari ini.

"Pada masa yang sama, kita juga amat menghargai usaha serta inisiatif yang digerakkan oleh sektor swasta. Ini penting supaya kita dapat melipatgandakan usaha secara bersama dalam meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dalam talian," katanya.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE