fb fb fb fb fb

Nikmati pelbagai kemudahan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 29 Ogos - Orang ramai yang bakal hadir ke sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini akan menikmati pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan bas percuma, parkir khas serta laluan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Jurutera Perbadanan Putrajaya, Faridz Amli Shaharudin, sebanyak 100 buah bas disediakan dengan tiga laluan utama, selain perkhidmatan 'water taxi' dan 'cruise tasik' yang turut beroperasi secara percuma bermula 30 Ogos hingga 31 Ogos.

Beliau berkata, lebih 15,000 petak parkir disediakan di sekitar kawasan yang ditetapkan, manakala 12 hingga 16 skrin LED turut dipasang bagi membolehkan orang ramai mengikuti acara secara langsung.

“Orang ramai yang datang ke Putrajaya untuk menyaksikan Hari Kebangsaan, saya sarankan supaya datanglah dengan membawa air, topi dan sebagainya kerana saya jangka mungkin akan panas.

"Mereka yang datang menggunakan pengangkutan awam, kita memang ada tiga laluan bas dan bot. Gunakanlah sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui RTM.

Orang ramai yang ditemui turut menyambut baik usaha menyediakan pelbagai kemudahan awam bagi memudahkan pengunjung ke sambutan berkenaan.

Johari Abd Halim, 35, berkata, semua persiapan tempat dilihat baik dan selesa.

"Paling penting tandas disediakan. Selain itu, pihak perubatan turut ditempatkan untuk merawat mana-mana pengunjung yang berdepan masalah kesihatan," katanya.

Sementara itu, Maslina Alias, 49, menyarankan orang ramai terutama di kawasan berdekatan agar menggunakan pengangkutan awam seperti LRT dan 'shuttle bus' ke Dataran Putrajaya.

Mohamad Rais Abdul Rahim pula menyifatkan pelbagai kemudahan terutama tandas dan 'shuttle bus' yang disediakan memberi keselesaan kepada pengunjung.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 dijangka menarik kehadiran ratusan ribu pengunjung, sekali gus menyerlahkan semangat patriotik dan perpaduan rakyat Malaysia di bawah satu Jalur Gemilang.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello