IPOH, 29 Ogos - Kerajaan negeri hari ini melancarkan inisiatif Propulih 2.0 Perak Sejahtera 2025 sebagai usaha meningkatkan penguasaan literasi dan mengurangkan kadar keciciran akademik dalam kalangan murid.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah berkata, fasa kedua program itu memberi tumpuan kepada pelajar menengah rendah, kelas peralihan serta murid sekolah rendah tahap dua.
Beliau berkata, inisiatif melibatkan lebih 3,400 pelajar itu, turut mendapat kerjasama Yayasan Perak sebagai agensi pelaksana.
"Ini merupakan antara pelan intervensi kokurikulum yang diuruskan oleh Jabatan Pendidikan bagi membantu mengesan lebih awal masalah literasi dalam kalangan murid.
Buku Propulih ini turut disusun oleh guru-guru pemulihan bersama guru pakar bahasa bagi memastikan pendekatan yang lebih berkesan," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan,Majlis Apresiasi SPM, STPM, STAM 2024 dan Pelancaran Propulih Perak Sejahtera yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Casuarina Convention Meru, di sini, hari ini.
Tambah beliau, tempoh pelaksanaan program adalah selaras dengan Standard Kurikulum dan Pentaksiran selain ujian pengesanan turut akan dijalankan bagi memantau pencapaian pelajar terhadap kemahiran yang diajar menerusi inisiatif tersebut.