BANTING, 16 Disember- Usaha meningkatkan kecekapan penyelenggaraan jalan di Selangor terus diperhebat melalui penggunaan jentera mesra alam berteknologi tinggi dari Jepun.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, melalui kaedah kitar semula, bahan turapan jalan sedia ada membolehkan kerja-kerja tampalan dilaksanakan dengan lebih cepat, menjimatkan kos serta mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
“Kita menggunakan bahan yang sesuai, dengan tambahan hanya dua bahan tambahan sahaja. Berdasarkan kiraan pihak syarikat, pendekatan ini dapat menjimatkan sehingga 69 peratus. Dengan penjimatan ini, lebihan dana boleh digunakan untuk keperluan tampalan di lokasi lain.
Selain itu, kaedah ini turut menyokong inisiatif sifar karbon, di mana pelepasan karbon dioksida dapat dikurangkan sehingga 60 peratus. Semua langkah ini sejajar dengan hasrat kerajaan," kata Datuk Ir. Izham selepas Majlis Demonstrasi Mesin Turapan di Tapak Pasar Malam Banting.
Jelasnya, rundingan harga bagi kira-kira enam unit jentera mesin turapan itu sedang dijalankan dengan kos tidak melebihi RM1 juta.