fb fb fb fb fb

Dewan Negara lulus pindaan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2025, perkukuh ekosistem TVET negara

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 [Akta 640], sebagai langkah penting Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara agar lebih inklusif, mampan dan sejajar dengan keperluan semasa.

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad, yang menjelaskan pindaan ini bertujuan memperluas akses latihan kemahiran serta memastikan kemampanan kewangan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), selaras dengan slogan “TVET for All”.

Menurut beliau, pindaan Akta 640 membolehkan PTPK berperanan lebih berkesan sebagai pemangkin pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, selain menyokong pembelajaran sepanjang hayat.

Intipati utama pindaan termasuk:

Perluasan skop pinjaman dan bantuan kewangan bagi latihan kemahiran, memberi peluang lebih ramai rakyat mengikuti program TVET.

Pemantapan tadbir urus dalaman PTPK untuk pengurusan dana yang lebih cekap, telus dan berintegriti.

Pengukuhan penguatkuasaan akta bagi menjamin pematuhan serta keadilan dalam penggunaan dana awam.

Penyelarasan peruntukan perundangan dengan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 [Akta 652] bagi memastikan konsistensi undang-undang.

Rang undang-undang ini sebelum ini diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Disember 2025, sekaligus melengkapkan proses perundangan selepas kelulusan Dewan Negara hari ini.

Kelulusan pindaan Akta 640 oleh Parlimen ke-15 menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh PTPK, memperluas peluang TVET berkualiti serta mengangkat TVET sebagai laluan kerjaya yang berdaya saing dan mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI