fb fb fb fb fb

Selangor komited capai 50% perwakilan wanita melalui SIWANIS 2025

Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025

PETALING JAYA, 15 Jun - Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025 dilancarkan, ke arah mencapai sasaran 50 peratus perwakilan wanita di negeri itu.

Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata, inisiatif Kohort ketiga ini disertai 74 wanita muda yang berpotensi tinggi dalam bidang kepimpinan.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor itu bertujuan memperkasakan golongan wanita dengan pengetahuan berkenaan proses pembuatan dasar, protokol persidangan, dan pemahaman terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

"Penganjuran SIWANIS 2025 ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk merapatkan jurang gender dalam bidang pemberdayaan politik, selaras dengan Matlamat 4 Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026, iaitu mempercepatkan penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan dalam kehidupan awam dan politik kalangan wanita," katanya.

Anfaal Saari berkata demikian selepas melancarkan Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025, di sini. Pendekatan mentor-mentee antara penambahbaikan untuk SIWANIS kali ini.

Sebanyak 56 peserta terbaik akan dipilih untuk menyertai program lanjutan termasuk sesi lawatan lapangan, syarahan khas, serta simulasi persidangan dan perbahasan yang bakal diadakan di Dewan Negeri Selangor pada 12 Ogos depan.

TETITIA YUSOFF