fb fb fb fb fb

PLKN perlu 'diremajakan' tarik minat belia

Pengenalan modul baharu Program Latihan Khidmat Negara perlu diperkenal selari dengan aspirasi golongan belia / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Jun - Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu 'diremajakan' semula menerusi pengenalan modul dan latihan baharu selari dengan aspirasi golongan belia masa kini.

Timbalan Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad mencadangkan inisiatif itu sebagai antara usaha menangani isu ketidakhadiran peserta PLKN 3.0

Katanya dengan cara tersebut, dapat meningkatkan rasa seronok belia menyertai program, sekali gus mengelak sebarang unsur paksaan.

"Perlu ada usaha seperti modul yang lebih mendekati keperluan dan kehendak, aspirasi serta kecenderungan golongan belia. Supaya mereka tidak berasa PLKN itu bersifat ketinggalan atau dalam bentuk lama.

"Kita boleh suntik elemen dalam PLKN ini antaranya Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan banyak lagi yang boleh meningkatkan keseronokan mereka (belia)," jelasnya ketika dihubungi RTM.

Pelaksanaan PLKN 3.0 yang bermula 11 Mei sehingga 24 Jun 2025 menyaksikan seramai 204 peserta tidak hadir atas pelbagai sebab.

Sebagai usaha menangani isu berkenaan, kerajaan sedang memperhalusi untuk mengiktiraf sijil PLKN, agar ia boleh dimanfaatkan peserta dalam menempatkan diri di Institusi Pengajian Tinggi mahupun alam pekerjaan.

Menyentuh perkara itu, Dr Anuar turut mencadangkan agar PLKN dilaksanakan kepada kumpulan sasar dengan keutamaan belia yang berhasrat bekerja dalam sektor awam.

"Keberkesanan PLKN ini, kita harus fikirkan sasaran utama supaya dapat tingkatkan semangat patriotik dan kenegaraan. Misalnya, lebih wajar PLKN diberi keutamaan kepada belia yang mahu bekerja dalam sektor awam.

"Akhirnya, dengan program PLKN ini akan dapat membina jati diri, kebanggaan dan patriotisme apabila mereka memohon Pegawai Tadbir Diplomatik atau apa-apa jawatan lain dalam kerajaan" ujarnya lagi.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ