SHAH ALAM, 18 Julai - Selangor terus menekankan keseimbangan antara kemajuan fizikal dan pembangunan jiwa dengan pengembangan ilmu yang dijadikan teras dalam membentuk masyarakat berakhlak dan progresif.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, penganjuran Festival Turath Islami Selangor (FTIS) menjadi antara inisiatif penting menyokong pembangunan ekonomi dan kehidupan moden, seiring dengan pengisian spiritual dan kefahaman agama dalam kalangan rakyat.
Justeru katanya, program seperti itu menjadi wadah penting untuk mendidik masyarakat dan memperkukuh kefahaman terhadap kitab turath serta khazanah keilmuan Islam.
"Kita berusaha mencari titik keseimbangan antara kemajuan, pembangunan, kerancakan ekonomi dan kehidupan moden yang sering menyibukkan kita, sehingga mengurangkan ruang untuk berfikir dan melakukan penelitian mendalam. Justeru, penting agar jiwa kita turut dipenuhi dengan pengertian serta pemahaman tentang agama dan kehidupan.
"Kesedaran terhadap agama kini semakin tinggi, khususnya selepas pelbagai krisis seperti pandemik COVID-19. Ia secara tidak langsung telah menyedarkan masyarakat terutamanya golongan muda, tentang pentingnya agama dalam kehidupan.
"Saya percaya bahawa pengajian dan pendidikan yang betul, disertai penelitian yang mendalam, adalah penting bagi memastikan kefahaman Islam tidak mudah diseleweng atau terpengaruh dengan elemen ekstrem seperti budaya takfiri atau pandangan sempit berkaitan hudud yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat.
"Maka sebab itulah kita kembali kepada karya asal dan membaca teks asal, agar pemahaman yang diperoleh lebih tepat dan menyeluruh," katanya ketika berucap melancarkan Festival Buku Islami 2025 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, malam tadi.
Pada majlis itu turut dilancarkan buku Muhaddisat: Wanita Periwayat Hadis karya Syeikh Dr Mohammad Akram Nadwi yang disempurnakan Pengarah Badan Pemikir Polity Nurul Izzah Anwar.
Festival yang bermula sejak 12 Julai lalu hingga Ahad ini telah menarik lebih 1,000 peserta bagi setiap sesi, membabitkan 30 penerbit dan lebih 1,000 judul buku berkaitan keilmuan Islam, tasawuf, sejarah dan sastera Arab.