KUALA LUMPUR, 18 Julai – Malaysia berpotensi mendapat kelonggaran tarif daripada Amerika Syarikat (AS) berikutan kedudukan strategiknya dalam rantaian bekalan global.
Ia berikutan, negara ini merupakan pengeluar utama produk elektrik dan elektronik, sarung tangan perubatan serta barangan pembuatan berteknologi tinggi.
Pensyarah Fakulti Ekonomi, Perniagaan dan Perakaunan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, Malaysia antara pemain penting dalam strategi China Plus One yang diterapkan Washington.
Bagaimanapun, sebarang konsesi tarif dijangka datang dengan syarat tertentu.
“Amerika semakin menekankan pematuhan piawaian buruh, alam sekitar dan ketelusan perdagangan selaras dasar mesra ESG (Environmental, Social and Governance). Ekonomi Malaysia juga stabil dengan peningkatan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang mengukuhkan kedudukan rundingan perdagangan luar.
Dasar fiskal properdagangan serta komitmen terhadap Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) turut memberi kelebihan Malaysia berbanding pesaing serantau,” katanya.
Beliau menegaskan, peluang pengurangan tarif ini memerlukan diplomasi ekonomi yang bijaksana, pematuhan piawaian antarabangsa dan penyesuaian dasar tempatan dengan kehendak pasaran global.
Jika dilaksanakan dengan teliti, Malaysia bukan sahaja mampu meningkatkan eksport, tetapi mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama ekonomi serantau.
Antara sektor yang berpotensi menerima manfaat termasuk elektrik dan elektronik, sarung tangan getah serta peranti perubatan, produk pertanian dan makanan, tekstil dan pakaian, selain produk halal dan kosmetik Islamik.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, rundingan dengan AS bagi pengurangan tarif sehingga 25 peratus boleh dicapai dengan strategi yang jelas.
“Malaysia juga boleh menawarkan kerjasama strategik dalam sektor bernilai tinggi seperti tenaga hijau, maklumat, tenaga boleh diperbaharui dan semikonduktor.
Ini sejajar dengan kepentingan ekonomi masa depan Amerika Syarikat, sekali gus menjadi nilai tambah untuk mengukuhkan lagi rundingan,” katanya.
Jelas beliau, rundingan ini penting bukan sahaja untuk kepentingan ekonomi Malaysia jangka pendek, tetapi juga untuk memastikan daya saing eksport negara kekal terpelihara dalam jangka panjang.