PUTRAJAYA, 18 Julai – Beberapa kelemahan dikesan dalam aspek pelaksanaan tindakan penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor terhadap sebuah premis kitar semula di Kawasan Perindustrian Segamat, walaupun undang-undang dan prosedur sedia ada telah ditetapkan.
Premis berkenaan awalnya didakwa beroperasi tanpa lesen sah, namun hasil siasatan kemudiannya mendapati perkara sebaliknya.
Kesemua premis terlibat sebenarnya memiliki lesen yang sah untuk beroperasi.
Siasatan dijalankan bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati antara kelemahan jabatan tersebut adalah keberkesanan hukuman yang masih lemah dalam mencegah kesalahan berulang pelaksanaan garis panduan penguatkuasaan yang tidak seragam antara peringkat negeri dan daerah, serta kelewatan dalam pelaksanaan garis panduan kompaun yang telah dipinda.
Sehubungan itu, EAIC mencadangkan penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan terhadap premis kitar semula khususnya di kawasan perindustrian yang terlibat.
Suruhanjaya itu juga mengesyorkan agar tindakan lebih tegas diambil oleh JAS terhadap premis-premis yang melanggar undang-undang alam sekitar, dengan penekanan diberikan kepada kesalahan berulang supaya tiada ruang untuk kelonggaran dalam penguatkuasaan.