TANJUNG MALIM, 18 Julai – Legasi seni Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde bakal diangkat menerusi Pameran Khas Seni Visual anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pameran dijadual berlangsung dari 30 September hingga 31 Disember ini di Galeri Seni UPSI.
Idea pameran tercetus hasil kunjungan hormat IPM ke rumah keluarga Allahyarham di Kampung Telaga Nibong, Besut, Terengganu pada Ahad lalu.
Pengarah IPM, Prof Dr Tajul Shuhaizam Said berkata, kunjungan itu bagi menjalin silaturahim selain mengurus dokumentasi dan peminjaman karya seni milik Allahyarham.
Jelas beliau, Allahyarham Muhammad Mustaqim ialah mahasiswa Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) yang berbakat besar dalam seni visual dan terkorban dalam tragedi kemalangan bas UPSI di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik pada 9 Jun lalu.
“Sebanyak 68 karya seni Allahyarham diserahkan keluarga untuk dibawa ke UPSI bagi tujuan konservasi dan pembingkaian sebelum dipamerkan.
Koleksi lukisan Allahyarham menampilkan keunikan estetika dan teknik, antaranya landskap langit dan laut dengan warna berani, sapuan lembut, serta unsur realisme dan ekspresif yang memberi ketenangan,” katanya.
Sebahagian karya Allahyarham akan dicetak semula secara terhad dan dijual melalui lelongan amal sepanjang pameran.
Keseluruhan hasil jualan akan disumbangkan kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda penghargaan dan solidariti warga UPSI.
Prof Tajul berkata, keluarga Allahyarham amat menghargai kesudian UPSI menganjurkan pameran ini sebagai penghormatan terhadap bakat dan dedikasi Allahyarham.
Bapa Allahyarham, Rosde Yaakub, 58, berharap karya seni Allahyarham terus dikenang dan memberi inspirasi kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
“Kami berharap pameran ini menjadi medan untuk semua mendoakan Allahyarham dan memberi kekuatan kepada keluarga mengenang insan tersayang,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada UPSI atas komitmen mengangkat nilai kemanusiaan dan seni pelajar sebagai legasi pendidikan dan budaya berterusan.