SHAH ALAM, 8 April- Kerajaan Selangor bersetuju untuk memberi pengecualian selama setahun bagi kadar duti hiburan untuk bayaran masuk pertunjukan pentas (bertiket) bagi artis tempatan berkuat kuasa 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pengecualian itu diberikan selepas menerima pandangan dan maklum balas orang ramai terutamanya golongan seni berkenaan pelaksanaan duti hiburan yang menjadi perhatian baru-baru ini.
“Pengecualian ini bagaimanapun tidak terpakai untuk artis antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata untuk aktiviti ‘busking’, buat masa ini tiada sebarang caj duti hiburan dikenakan kerajaan negeri manakala kadar duti hiburan untuk ‘live band’ (tidak bertiket) juga turut diberi pengecualian selama setahun bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022.
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri juga telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan kadar segera.
“Keluasan ini melibatkan kawasan Kampung Orang Asli Busut Baru seluas 42.05 hektar dan jajaran laluan Paip Air Mentah Loji Rawatan Air Sg Rasau seluas 8.58 hektar, menjadikan keseluruhan kawasan yang akan diwarta semula seluas lebih kurang 486.07 hektar,” katanya.
(Kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari)