SHAH ALAM, 5 Ogos- Kestabilan politik dan hala tuju dasar kerajaan perpaduan yang jelas menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi.
Ini terbukti apabila negeri Selangor berjaya mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)11 % tahun lalu, mengatasi KDNK nasional pada 8.9 %.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan sumbangan Selangor cukup signifikan dalam momentum aktiviti perdagangan.
(Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul
Tengku Abdul Aziz/BERNAMA)
Selain lokasi strategiknya sebagai hub logistik aktiviti pelabuhan, pertumbuhan juga didorong faktor modal insan berkemahiran tinggi.
"Malaysia merekodkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM71.4 bilion untuk tiga bulan pertama pada tahun 2023, lonjakan 60% berbanding tempoh sama 2022. Daripada jumlah itu, Selangor mencatat pelaburan RM7.4 billion.
"Kedudukan Malaysia juga terus mengukuh bagi World Competitives Index 2023 di tempat 27 berbanding 32 tahun lepas", katanya.
Beliau berucap pada Program Hari Terbuka MITI Selangor 2023 berlangsung di Shah Alam yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.