SHAH ALAM, 15 November - Kerajaan Selangor memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM3 bilion bagi Belanjawan 2025.
Ia merangkumi RM1.7 bilion perbelanjaan mengurus dan RM1.3 bilion perbelanjaan pembangunan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan mengurus, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan menjadi komponen terbesar yang mencakupi 38.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Menurutnya, belanja pembangunan pula menyaksikan peningkatan sebanyak RM100 juta atau 8.3 peratus berbanding Belanjawan 2024 dengan fokus utama terhadap sektor infrastruktur berbanding sektor sosial.
Beliau berkata, peruntukan sektor infrastruktur merangkumi 31.09 peratus dari peruntukan pembangunan dengan nilai RM404.17 juta.
"Walaupun sektor sosial bukan lagi tumpuan utama, peruntukan bagi tujuan pembangunan sosial berjumlah RM354.08 juta atau 27.24 peratus, kekal sebagai antara agenda pembangunan utama kerajaan negeri.
"Penekanan kepada program kesihatan dan kebajikan warga emas masih diteruskan, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri dalam menambah baik sistem perlindungan sosial yang merangkumi kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi golongan sasar sebagai teras kesejahteraan rakyat," katanya ketika membentangkan belanjawan itu Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata, Belanjawan Selangor 2025 membawa tema 'Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani'.
Menurutnya, ia akan digerakkan melalui lima teras utama iaitu Kecerdasan Buatan dan Pemangkin Kemajuan Ekonomi Negeri; Mendukung Hasrat Alam Sekitar Mampan dan Infrastruktur Berkualiti; Memupuk Negeri Penyayang; Menjuarai Tadbir Urus Cekap dan Wibawa; serta Membugar Ekonomi, Kebudayaan dan Pembangunan Generasi Muda.