fb fb fb fb fb

KPM perkenal kurikulum baharu prasekolah pada 2026

Fadhlina Sidek/ BERNAMA

PORT DICKSON, 15 November- Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan kurikulum persekolahan baharu bagi peringkat prasekolah pada 2026.

Perkara itu termasuk pengukuhan penggunaan 50 peratus bahasa Melayu dan 50 peratus bahasa Inggeris.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, beberapa pendekatan pendidikan bersepadu lain turut diberi tumpuan bagi prasekolah peringkat KPM, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta swasta yang menggunakan kurikulum kebangsaan.

"Kitaran baharu kurikulum akan bermula pada 2027 tetapi bagi prasekolah dimulakan lebih awal iaitu 2026, beberapa pendekatan pendidikan bersepadu akan kita beri tumpuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Karnival Pantai Port Dickson: Pendidikan Awal Kanak-Kanak peringkat Parlimen Port Dickson di sini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau menjelaskan keupayaan guru di peringkat prasekolah juga memainkan peranan penting bagi memastikan pencapaian pemerkasaan pendidikan itu dapat dilakukan lebih holistik.

Pada masa sama kementerian juga akan memastikan semua guru prasekolah mempunyai tahap pendidikan tertinggi peringkat ijazah berbanding sekarang iaitu kebanyakannya memiliki diploma.

Fadhlina berkata, keupayaan guru merupakan aspek penting dalam menjayakan pelan kurikulum persekolahan baharu itu, selain memastikan keupayaan golongan berkenaan dalam memenuhi kompetensi diperlukan. 

"Sekarang ni kita sedang berbincang dalam sesi-sesi kita untuk melihat bagaimana kita boleh meneruskan lagi keupayaan yang sama, kompetensi yang sama untuk semua Tadika Kemas, Tadika Perpaduan yang saya fikir mereka juga telah mencapai tahap penting dalam kerana minimumnya adalah diploma," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan berkenaan senario pendaftaran bagi pra sekolah pada masa kini disifatkan sebagai mencabar. 

Justeru KPM komited melaksanakan advokasi kepada golongan sasar berkenaan kepentingan pendidikan awal dan pendidikan berkeperluan khas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI