BEIJING, 1 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis masa depan sektor perniagaan Malaysia berada pada landasan tepat untuk terus berkembang.
Keyakinan itu disuarakan beliau hasil Mesyuarat Meja Bulat bersama pelabur berprofil tinggi Malaysia-China, di sini.
“Saya memberi jaminan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, urusan pelaburan dan perniagaan akan dipermudah.
Ini penting bagi memastikan sektor berkenaan dapat dioptimumkan, sekali gus mencapai kemajuan yang lebih mendalam,” katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan Malaysia-China di sini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar juga menzahirkan hasrat untuk meneruskan iltizam menjadikan Malaysia sebagai 'Harimau Asia' hasil peluang perdagangan yang kukuh antara Malaysia dengan China.
"Saya rasa masa depan industri perniagaan Malaysia adalah membanggakan dan saya sangat optimis dengan komitmen perniagaan antara China dan Malaysia.
"Daripada pengalaman saya, ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan tidak pernah dalam beberapa tahun kebelakangan ini terdapat begitu ramai kapten industri terkemuka yang berkumpul bersama. Ini adalah permulaan baharu bagi Malaysia.” ujarnya lagi.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Forum Perniagaan
Malaysia-China di Beijing / Foto BERNAMA)
Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan lawatan rasmi beliau ke negara tembok besar itu setakat ini amat membuahkan hasil termasuk melibatkan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping.
Jadual lawatan rasmi beliau petang ini akan diteruskan dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier China, Li Qiang.