KLUANG, 1 April- Komunikasi dua hala antara Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dengan masyarakat menjadi fokus penting, sebelum pihak berkuasa tempatan itu membuat perancangan dan keputusan mewujudkan persekitaran kondusif.
Merakyatkan program dilaksanakan bagi menjadikan MPK sebuah PBT mesra rakyat.
Sekali gus membolehkan ia menerima pengiktirafan Bandar Bahagia 2022 pada 20 Mac lalu.
Daerah Kluang yang berkeluasan lebih 2,800 kilometer persegi ini terletak di tengah-tengah negeri Johor dan dikelilingi semua daerah, kecuali Muar.
Kluang mudah dihubungi dengan bandar-bandar lain melalui rangkaian jalan raya dan kereta api.
Bandar Bahagia 2022 ini dikelilingi Hutan Rekreasi Gunung Lambak dan Hutan Lipur Gunung Berlumut, selain terkenal dengan perusahaan kopi.
Seramai 235, 715 penduduk direkodkan di bawah pentadbiran MPK.
Yang Dipertua MPK, Azurawati Wahid berkata, masyarakat diberi peluang menyuarakan idea bagi perancangan bandar Kluang menerusi libat urus atau sesi dialog awam.
"Penyampaian perkhidmatan kerajaan itu mesti dirasai dan diterima masyarakat bermakna pihak PBT bukan sendiri ianya mesti bersama- sama masyarakat supaya mereka dapat menerima apa yang telah disampaikan, dilaksanakan pihak PBT. Perancangan pihak PBT perlulah selari dengan keperluan masyarakat, kemudahan awam dan infrastruktur mesti mempunyai daya tahan yang mampu menarik masyarakat," katanya.
(Yang Dipertua MPK, Azurawati Wahid)
Tambah Azurawati, MPK juga memperkasa integriti secara berterusan melalui mekanisme semak dan imbang.
Selain itu juga bersiap siaga berdepan bencana alam dan ancaman bagi memastikan rakyat selamat dan bahagia dengan mewujudkan bilik gerakan.
Seiring dengan pendigitalan, MPK turut memperkasa inisiatif masyarakat tanpa tunai menerusi aplikasi e-khidmat dan Jompay, selain memberi respon pantas dan cekap terhadap setiap aduan.
Laporan, Nur Aqeela Arbaen