fb fb fb fb fb

Sektor agrikomoditi sasar nilai eksport RM300 bilion

KUALA LUMPUR, 24 Mac - Sasaran nilai eksport sebanyak RM300 bilion bagi sektor agrikomoditi pada tahun ini mampu dicapai dengan penganjuran Malaysia International Agricommodity Expo and Summit 2022 (MIACES 2022).

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, acara itu menawarkan peluang kepada peserta industri mengembangkan perniagaan dan meneroka pasaran baharu bagi eksport agrikomoditi.

“Nilai eksport tahun lepas adalah berjumlah RM204 bilion. Saya percaya kita boleh menjana nilai eskport RM300 bilion tahun ini.

“Apa yang penting MIACES 2022 akan buka peluang seperti pemadanan perniagaan business dan membina hubungan perdagangan bagi memastikan kita dapat mempertingkatkan pendapatan negara bagi sektor berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MIACESS 2022 di sini hari ini.

Menurutnya lagi, beliau percaya sektor agrikomoditi boleh berkembang menjadi penyumbang ekonomi terbesar negara dengan peningkatan penyertaan daripada pemain industri, pengeluar, pelabur dan pihak berkepentingan membawa kepada peningkatan eksport bagi sektor berkenaan.

(10,000 pelawat dijangka menghadiri acara tiga hari itu/FOTO Facebook Zuraida Kamaruddin)


Dalam pada itu, sebanyak 15 negara menyatakan persetujuan untuk mengambil bahagian antaranya Bangladesh, Indonesia, Sri Lanka, India dan Iran.

Dijangka 250 pempamer dan 500 perwakilan perdagangan menyertai dengan jangkaan kehadiran 10,000 pelawat sepanjang tiga hari penganjurannya di MITEC Kuala Lumpur bermula 26 hingga 28 Julai ini.

Media Baharu