SHAH ALAM, 14 Oktober - Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan komuniti setempat bagi mempertingkatkan tahap keselamatan di semua sekolah di Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk murid dan pelajar.
"Kes ini akan menjadi keutamaan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan tumpuan kepada aspek keselamatan fizikal serta sokongan kesihatan mental pelajar," katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kes kematian pelajar perempuan tingkatan empat yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pagi tadi.
Datuk Seri Amirudin turut menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga berkenaan.
Menurutnya, hasil maklumat daripada Ketua Polis Selangor mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan menegaskan insiden berkenaan tidak melibatkan sebarang unsur perkauman.
Pihak polis juga akan terus menyiasat elemen jenayah kes berkenaan dan perkembangan mengenainya akan dimaklumkan kepada orang ramai.