fb fb fb fb fb

Jawatankuasa khas ditubuh, pastikan kes tikam pelajar disiasat telus

KPM mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa /Foto FB Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Satu jawatankuasa khas ditubuhkan berkaitan kes kematian pelajar perempuan tingkatan empat yang dipercayai ditikam di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya.

Tujuannya bagi memastikan siasatan kes dijalankan secara menyeluruh, telus dan adil.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan kementeriannya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan yang sedang berjalan.

“Suspek telah ditahan polis. Kementerian Pendidikan (KPM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat kejadian tragis ini.

“Semoga keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” kata menerusi satu kenyataan.

Fadhlina turut memaklumkan pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling telah digerakkan ke sekolah terlibat bagi melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru, dan seluruh warga sekolah.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail, mengesahkan seorang pelajar perempuan maut selepas dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 9.30 pagi tadi di dalam kawasan sekolah.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suspek yang berusia 14 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN