SARA terbukti bantu ringankan beban kos sara hidup

KUALA LUMPUR 14 Oktober – Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terbukti berkesan membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi bebanan kos sara hidup.

RINGKASAN BERITA AI
  • SARA terbukti membantu golongan berpendapatan rendah meringankan kos sara hidup melalui pembelian barang keperluan.
  • Lebih 5.34 juta penerima SARA bulanan telah menggunakan MyKad untuk membeli di premis berdaftar.
  • Kadar penggunaan SARA mencapai 98% dengan nilai perbelanjaan RM3.3 bilion setakat 13 Oktober.
  • Jumlah kedai Rakan Niaga SARA meningkat kepada 8,400 kedai bagi memperluas capaian bantuan.
  • Peruntukan SARA dan STR dipertingkatkan kepada RM15 bilion dalam Belanjawan 2026 sebagai sokongan keselamatan sosial.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, sehingga 13 Oktober lalu lebih 5.34 juta penerima SARA bulanan telah menggunakan MyKad mereka untuk membeli barangan keperluan asas di premis berdaftar.

Ia melibatkan kadar penggunaan sebanyak 98 peratus dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM3.3 bilion.

“Berdasarkan prestasi pelaksanaan program SARA bulanan tahun 2025, kadar pengunaan tertinggi telah dicatatkan di Perlis, Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan 99 peratus tuntutan penggunaan MyKad dalam pembelian di kedai-kedai runcit berdaftar dan seterusnya menafikan kelewatan penggunaan SARA di sebahagian kawasan luar bandar.

“Untuk memastikan lebih ramai penerima mendapat akses mudah kepada bantuan ini, jumlah kedai Rakan Niaga SARA setakat 13 Oktober juga telah meningkat kepada 8,400 buah kedai di seluruh negara”, katanya di Dewan Rakyat.

Manakala, bagi penerima SARA (one-off), lebih 16.4 juta rakyat telah berbelanja dengan  nilai perbelanjaan melebihi RM1.42 bilion.

Beliau menjelaskan peningkatan peruntukan SARA dan STR kepada RM15 bilion pada tahun depan menerusi Belanjawan 2026, mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial rakyat.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan ahli parlimen Rantau Panjang mengenai keberkesanan pelaksanaan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Parlimen.