fb fb fb fb fb

KPT semak semula Kursi Pengajian Melayu di luar negara

PUTRAJAYA, 14 Okt -- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) bergambar bersama pemenang pada Majlis Anugerah Akedemik Bahasa Melayu 2025 di Kementerian Pendidikan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Oktober - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu Kursi Pengajian Melayu di universiti luar negara berfungsi secara aktif dan berkesan sebagai platform diplomasi akademik negara dalam memperkenalkan bahasa Melayu serta budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata semakan semula sedang dilakukan terhadap terma dan pelaksanaan kursi berkenaan bagi memastikan ia benar-benar mencapai matlamat penubuhannya.

“Kita mahu pastikan kursi-kursi ini berfungsi sepenuhnya. Antara terma yang akan disemak ialah pelaksanaan pengajian Malaysia serta pengajaran Bahasa Melayu kepada pelajar luar negara yang berminat, agar budaya dan identiti Malaysia dapat diperkenalkan dengan lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu 2025 di Putrajaya.

Menurut Datuk Seri Dr Zambry, KPT telah mengarahkan semakan semula terhadap kedudukan semua Kursi Pengajian Melayu KPT di universiti luar negara bagi memastikan keberadaannya benar-benar memberi impak dan menepati matlamat penubuhan.

Katanya, antara kursi yang aktif ketika ini ialah di Beijing Foreign Studies University (BFSU) di China, Ohio University di Amerika Syarikat, dan Victoria University di New Zealand.

Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Seri Dr Zambry menegaskan bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu digiatkan bukan sahaja di peringkat kementerian, tetapi juga di pentas global melalui pengukuhan peranan Kursi Pengajian Melayu KPT di universiti luar negara.

ROSLINA BINTI DIN