BUTTERWORTH, 13 Julai - Penubuhan Sekolah Patriotik UMNO diyakini mampu melahirkan barisan pemimpin muda yang berdaya tahan serta bersedia menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan dengan lebih yakin dan berprinsip.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kekuatan parti untuk bangkit semula terletak pada usaha berterusan melahirkan pemimpin yang mempunyai ketahanan diri tinggi, tidak mudah berputus asa serta sanggup mempertahankan perjuangan parti.
Menerusi sekolah tersebut ia akan menjadi landasan tepat dalam melahirkan pemimpin generasi baharu selari dengan asas penubuhan UMNO serta objektif yang digariskan sejak awal selain disokong silibus yang dibangunkan khusus parti itu.
"Kita mahu yang terbaik daripada mereka yang menamatkan pengajian di Sekolah Patriotik UMNO. Kita ingin mereka menjadi pemimpin seperti yang kita kehendaki.
"Individu yang berdaya tahan, tidak mudah goyah, tidak boleh diugut dan sanggup mempertahankan UMNO dalam apa jua situasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Wan Rosdy menegaskan bahawa tidak mustahil parti itu kembali ke era kegemilangan sekiranya seluruh ahli parti memainkan peranan secara aktif, memperkukuh solidariti serta mendukung pembangunan kepimpinan secara menyeluruh.