fb fb fb fb fb

Pulau Pinang disaran jadi hab solidariti Palestin- MAPIM

Mohd Azmi Abdul Hamid ditemui media selepas menghadiri Program MAPIM 1000 Flotila ke Palestin di Madrasah Tarbiah Nurul Islam, George Town hari ini

GEORGE TOWN, 13 Julai – Pulau Pinang disaran menjadi negeri paling aktif dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza melalui pelbagai inisiatif kemanusiaan dan solidariti.

Cadangan itu disuarakan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid yang juga dikenali sebagai Cikgu Azmi, ketika menghadiri Program MAPIM 1000 Flotila ke Palestin di Madrasah Tarbiah Nurul Islam, George Town hari ini.

Menurut beliau, antara usaha yang boleh dilaksanakan adalah dengan menggalakkan setiap masjid di Pulau Pinang untuk menaja sekurang-kurangnya satu keluarga di Gaza, sebagai simbol keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Dengan kerjasama NGO seperti Persatuan Nurul Islam dan semua pertubuhan lain di Pulau Pinang, kita mahu negeri ini menjadi tapak kempen Palestin yang paling aktif. Kita merayu kepada kerajaan negeri, tanpa mengira parti atau aliran politik supaya bersatu atas nama kemanusiaan. Bantuan kepada Palestin amat diperlukan pada masa ini,” katanya.

Tambah beliau, isu di Gaza bukan sekadar konflik politik, sebaliknya merupakan krisis kemanusiaan yang memerlukan perpaduan dan sokongan seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang.

“Rakyat Gaza amat memerlukan keprihatinan kita untuk membina semula kehidupan mereka yang musnah akibat kekejaman rejim Zionis,” ujarnya.

MAPIM sebelum ini aktif dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza termasuk melalui penghantaran flotila, bantuan makanan, ubat-ubatan serta pembinaan semula fasiliti asas.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE