fb fb fb fb fb

Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai ditutup sementara susulan ancaman haiwan 'Pak Belang'

GUA MUSANG, 10 Januari - Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai di Pos Bihai, Kelantan ditutup sementara selepas ibu bapa tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah kerana takut dengan ancaman harimau belang yang masih berkeliaran di kampung mereka.

Dianggarkan lebih seratus murid Orang Asli di 12 buah kampung di Pos Bihai bersekolah di SK Bihai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Bihai, Nordi Alang berkata ibu bapa Orang Asli bersepakat untuk tidak mahu menghantar anak mereka susulan gangguan haiwan 'pak belang' masih belum selesai sejak sebulan lalu.

"Masalah gangguan harimau belang ini belum selesai, menyebabkan SK Bihai terpaksa ditutup sementara waktu dan guru sekolah juga tidak dapat datang ke Pos Bihai untuk meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran", katanya.

Sementara itu, penduduk Orang Asli Kampung Tendrik, Osman Pedik mengharapkan pihak kerajaan dapat membantu menyelesaikan perkara ini demi memastikan kehidupan komuniti Orang Asli disini tidak berada dalam ketakutan.

"Berkenaan harimau yang mengancam penduduk kampung, kami ibu bapa sepakat untuk tidak menghantar anak ke sekolah. Dan kami mengharapkan agar pihak kerajaan dapat bertindak sewajarnya untuk selesaikan masalah ini".

"Anak-anak pun tidak boleh ke sekolah, maka pembelajaran mereka ini terjejas," katanya kepada pemberita.

Hari ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin yang turun padang meninjau penduduk Kampung Tendrik berkata, pihaknya memahami ketakutan dialami komuniti itu selepas seorang penduduk mati dibaham harimau Jumaat lalu.

"Berdasarkan laporan yang diberikan pada saya sekolah di SK Bihai ditutup kerana para ibu bapa bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah begitu juga keselamatan guru-guru yang melalui jalan utama dikhuatiri tidak selamat memandangkan harimau ini berkeliaran di jalan-jalan utama di kawasan ini".

"Selain itu, saya dimaklumkan penduduk di pos lain juga ada yang terkesan dan mereka bimbang kerana tidak dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa," kata Syahbudin dalam satu temu bual bersama media.

Antara kampung yang berada di sekitar kawasan itu termasuk Kampung Tendrik, Kampung Sau, Kampung Bihai, Kampung Bihai Lama, Kampung Peyel, Kampung Bujuk, Kampung Bayor, Kampung Salak, Kampung Hak, Kampung Badak, Kampung Tameng dan Kampung Lalok.

Media Baharu