fb fb fb fb fb

Golongan warga emas teruja tempat nostalgia bersantai di Seremban kini dinaik taraf


SEREMBAN, 10 Januari - Golongan warga emas yang sering menjadikan pokok besar berhampiran pasar besar dan pejabat pos, Seremban sebagai lokasi bersantai mendapat perhatian apabila kawasan berkenaan dinaik taraf dengan fasiliti riadah.

Menurut Exco Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, kawasan itu kini dilengkapi dengan ruang santai dan kerusi serta landskap bercirikan keselamatan sesuai sebagai lokasi tumpuan warga emas.

Kos naik taraf bernilai RM15,000 itu telah siap sepenuhnya pada November tahun lalu.

"Lebih selesa dan selamat kerana sebelum ini mereka duduk di atas akar sahaja dan kita selenggara serta tambah baik fasiliti di sini untuk keselesaan mereka," kata Nicole kepada RTM.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan di Seremban.

Dalam pada itu, warga emas yang sering berkunjung ke kawasan berkenaan teruja dengan inisiatif itu, memandangkan ia merupakan tempat nostalgia yang tersemat pelbagai kenangan.

"Baguslah suasana di sini sekarang, ada tempat duduk boleh berehat untuk orang tua. Dulu tiada, sekarang baru ada," kata Raja Kumar yang ditemu bual media.

Kawasan tersebut merupakan bekas tapak stesen bas sejak 30 tahun lalu dan menjadi lokasi tumpuan warga emas bersantai berikutan suasana redup kerana mempunyai pokok yang dipercayai berusia lebih 100 tahun.

 

Media Baharu