KLEBANG, 22 November - Sekolah Kebangsaan Limbongan dan Sekolah Kebangsaan Tengkera 2 masing-masing menerima peruntukan RM100,000 melalui program Sekolah Angkat MADANI.
Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata program itu dapat memperkukuh hubungan Jabatan Pertanian negeri dengan komuniti sekolah, termasuk ibu bapa dan pelajar.
Menurutnya, melalui peruntukan berkenaan, beberapa kerja naik taraf telah dilaksanakan di kedua-dua sekolah, antaranya pembinaan bumbung, pemasangan penutup longkang serta penambahbaikan tapak perhimpunan.
“Saya rasa ini satu program yang sangat bermakna untuk pihak sekolah. Dengan adanya peruntukan melalui ketua-ketua pengarah jabatan dan agensi, kita dapat membantu meningkatkan kerja penyelenggaraan serta menambah baik infrastruktur supaya persekitaran sekolah lebih kondusif untuk murid-murid dan juga untuk guru-guru sekolah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Limbongan, Klebang.
Kerja naik taraf tersebut memberi manfaat kepada hampir 900 murid di kedua-dua sekolah.
