KUANTAN, 28 Mei- Pemilik kenderaan diesel bagi tujuan mengangkut barang perlu segera mengemukakan permohonan mendapatkan 'fleet card'.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh berkata, selepas penarikan subsidi diesel dilaksana kerajaan, hanya mereka yang memiliki 'fleet card' akan terus menikmati harga diesel bersubsidi.
Menurutnya, permohonan boleh dilakukan secara dalam talian melalui pautan MySubsidi Diesel.
"Sekarang ini di pam harga diesel masih ada subsiditidak menjadi masalah, Sebab itu paling penting ialah daftar segera kerana bila subsidi diesel itu ditarik, di pam nanti harganya harga berbeza iaitu tanpa subsidi.
"Jadi mereka yang sudah ada 'fleet card' boleh mendapatkan harga subsidi tersebut sebab itu penting daftar 23 kategori itu. Kita belum umum lagi bila hendak laksana proses pendaftaran,"katanya.
Tambah beliau, buat masa ini terdapat 23 jenis kenderaan barangan yang layak menerima subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKSD) 2.0.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Ops Terjah bersepadu di Kuantan.
Semalam, Kementerian Kewangan memaklumkan, pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi dari golongan B40 dan M40 di Semenanjung, layak memohon sumbangan tunai kerajaan melalui Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani, mulai hari ini.
Pemilik kenderaan diesel persendirian, berdasarkan kriteria kelayakan tertentu, boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu, manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon bawah kategori Budi Agri-Komoditi.