fb fb fb fb fb

Malaysia sasar tarik RM500 bilion pelaburan dalam fasa 1 pelan NSS

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 28 Mei - Kerajaan berhasrat menarik sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan menerusi fasa pertama Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) Malaysia yang diterajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan tersebut antara lima sasaran dalam NSS yang akan meliputi tiga fasa.

Fasa satu akan melibatkan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) yang memberi tumpuan kepada Reka Bentuk Litar Bersepadu atau Intergrated Circuit (IC), Pembungkusan dan Peralatan Pembuatan, serta Pelaburan Langsung Asing (FDI).

“Dalam fasa ini, kami akan memanfaatkan kapasiti dan keupayaan sedia ada industri kami untuk menyokong pemodenan pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT) dengan langkah ke arah pembungkusan canggih; mengembangkan fabrikasi sedia ada di Malaysia dan meneruskan FDI untuk mengembangkan kapasiti cip besar, terutamanya cip kuasa serta membangunkan reka bentuk cip tempatan.

Bawah fasa kedua NSS, Malaysia berhasrat untuk membangunkan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam reka bentuk dan pembungkusan canggih dengan perolehan antara RM1 bilion dan RM 4.7 bilion (US$210 juta dan US$1 bilion), kata Anwar.

“Fasa kedua kami akan meneruskan reka bentuk cip memori yang canggih, fabrikasi dan ujian serta berusaha untuk menyepadukan pembeli cip ini.

“Apabila fasa satu dilaksanakan, lebih banyak pengeluar cip termaju terkemuka akan tertarik untuk datang ke sini. Jadi peneraju reka bentuk tempatan kita boleh disepadukan dengan mudah ke dalam ekosistem syarikat fabrikasi termaju ini,” , kata Anwar ketika berucap pada acara SEMICON Asia Tenggara 2024, di sini.

Bagi fasa terakhir, Malaysia menyasarkan untuk menggandakannya dengan menyokong pembangunan reka bentuk semikonduktor Malaysia bertaraf dunia, pembungkusan termaju dan firma peralatan pembuatan, sambil menarik pembeli cip utama seperti Apple, Huawei, Lenovo dan syarikat teknologi utama lain untuk meneruskan pembuatan termaju di Malaysia.

Untuk mencapai matlamat itu, Anwar berkata negara akan membangunkan hab penyelidikan dan pembangunan global bagi semikonduktor, yang mengetengahkan universiti bertaraf dunia, korporat dan pusat kecemerlangan.

Selain itu, 60,000 jurutera berkemahiran tinggi Malaysia akan dilatih untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat daripada sektor itu.

Kerajaan juga akan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM25 bilion sokongan fiskal untuk mengoperasikan NSS dengan insentif bersasar, yang butiran terperincinya akan diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak lama lagi.

“Hari ini, saya menawarkan negara kami sebagai lokasi paling neutral bagi pengeluaran semikonduktor, untuk membantu membina rantaian bekalan semikonduktor global yang lebih selamat dan berdaya tahan,” kata beliau.

Anwar berkata, bagi mengukuhkan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju global dalam industri semikonduktor, Pasukan Petugas Khas NSS (NSSTF) akan diwujudkan dengan Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST), agensi di bawah MITI sebagai sekretariat.

TETITIA YUSOFF