fb fb fb fb fb

Model Perodua, Toyota di Malaysia patuhi piawaian keselamatan

Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA, 28 Mei- Semua model kenderaan keluaran Perodua dan Toyota di Malaysia mematuhi piawaian keselamatan Peraturan United Nations (UN) seperti ditetapkan bawah Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Perkara itu disahkan berdasarkan semakan serta penelitian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas setiap data dan keputusan pengujian semula ke atas enam model Perodua serta tiga model Toyota.

Pengujian semula kenderaan terbabit dilaksanakan pada Mac lepas oleh Technical Services (TS) yang kompeten dan diiktiraf oleh World Forum Harmonisation of Vehicle Regulation (WP29) menerusi rangka kerja United Nations Type Approval.

"Berdasarkan semakan serta penelitian lanjut JPJ ke atas setiap data dan keputusan pengujian semula itu adalah disahkan semua model kenderaan terbabit mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan Peraturan UN seperti ditetapkan di bawah prosedur VTA semasa," katanya pada sidang media di sini.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan pengujian semula dilaksanakan kepada model keluaran Perodua dan Toyota susulan insiden prosedur pengujian keselamatan kenderaan tidak teratur oleh Daihatsu Motor Corporation (DMC), Jepun.

Pengujian semula kenderaan Perodua dan Toyota membabitkan enam pematuhan Peraturan UN antaranya ‘sistem brake’ dan ‘frontal impact’.

Model Perodua yang menjalani pengujian semula ialah Axia (generasi pertama); Axia (generasi kedua); Alza (generasi kedua); Aruz, Ativa, Bezza dan Myvi.

Manakala tiga model kenderaan Toyota pula ialah Rush, Vios dan Veloz.

"Dianggarkan sejumlah 1.7 juta unit kenderaan bagi kedua-dua pembuat kenderaan terlibat dengan isu berkenaan di dalam pasaran Malaysia," katanya.

Kesemua laporan pengujian semula dipaparkan kepada umum menerusi laman sesawang JPJ iaitu https://bit.ly/JPJDaihatsu bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan ujian berkenaan.

Dalam pada itu, berkaitan kegagalan gegandar pada kereta Chery OMODA 5 yang tular, pihak Chery telah memanggil 600 unit kenderaan tersebut untuk dilakukan pemeriksaan semula.

Sehingga 27 Mei lepas, sebanyak 575 unit telah selesai diperiksa manakala lagi 25 unit pemilik telah dihubungi bagi temujanji pemeriksaan.

Beliau berkata JPJ akan memantau pelaksanaan proses ini dan komited untuk memastikan kesemua unit yang terlibat dibuat pemeriksaan serta disahkan selamat selain proses penggantian komponen gandar dilaksanakan bagi kenderaan yang terjejas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI