GEORGE TOWN, 28 Jun – Pulau Pinang bakal dilengkapi sebuah pusat pertanian dikenali ‘Sedusun Valley’ dalam tempoh dua tahun akan datang, berfungsi sebagai hab penyelidikan, pendidikan serta pengumpulan pelbagai variasi durian di dalam negara.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pusat terbabit mampu mengembangkan ekonomi industri pengeluaran durian ke peringkat lebih berimpak tinggi berbanding sekarang.
“Menjadi satu pusat R&D, pusat pendidikan dan pusat untuk mengumpulkan segala jenis atas jenama durian di Malaysia. Selain untuk menanam setiap jenis durian yang didaftarkan di Dusun Durian@Relau ini supaya Pulau Pinang akan menjadi satu negeri dan tempat maju untuk mengembang durian,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Pesta Durian dan Buah-buahan Tempatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 Di Dataran Persiaran Queensbay, Pantai Jerejak.
Hadir sama, Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol dan Pengarah Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Mohd Muhaimin Ibrahim.
Projek Sedusun Tech Valley di Relau melibatkan peruntukkan RM50 juta daripada Kementerian Ekonomi dan merupakan inisiatif kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). Projek dijangka siap suku kedua tahun depan.