SHAH ALAM, 28 Julai- Kerajaan Negeri Selangor komited dalam menyediakan rumah berkualiti, selesa dan lengkap demi kesejahteraan rakyat khususnya di negeri itu.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyempurnakan majlis pecah tanah projek pangsapuri Idaman Cahaya, fasa ketiga projek Rumah Idaman MBI di Cahaya Alam.
Projek Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB) dengan kerjasama MGB Bhd. (MGB) ini menyediakan pilihan rumah mampu milik.
"Kira-kira 1,853 unit bagi kesemua blok di sini dengan tanah seluas 16.52 ekar," katanya ketika ditemui RTM.
Projek Rumah Idaman MBI, menyasarkan matlamat untuk membina 7,210 unit rumah mampu milik, dan setiap unit akan dilengkapi penghawa dingin, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen dan pemanas air.
Bagi kriteria kelayakan, pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan keutamaan diberi kepada mereka yang bekerja atau menetap di Selangor.
Bagaimanapun, pembeli disasarkan daripada kumpulan berpendapatan isi rumah bawah RM10,000 sebulan dan tiada pemilikan hartanah terdahulu di Selangor.
(Amirudin Shari)