fb fb fb fb fb

Program Silang Budaya, libatkan pelbagai komuniti kenali warisan budaya

(Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC , Datuk Mohd Zamri Mat Zain)

MELAKA, 29 Julai- Pelbagai program yang memperkenalkan warisan budaya ketara dan tidak ketara bagi mengekalkan warisan seni budaya negara akan ditingkatkan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya , Datuk Mohd Zamri Mat Zain berkata ini termasuk memperkenalkan aset warisan budaya negara melalui
program silang budaya, antaranya “kebaya on the Go” yang melibatkan pelbagai komuniti.

Beliau berkata pihaknya menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sedang giat melaksanakan pelbagai bentuk aktiviti bagi memastikan seni budaya negara dapat dipersembahkan ke peringkat akar umbi.

"Kita telah pun memanjangkan hasrat untuk warisan ketara dan tidak ketara dan budaya baju kebaya merupakan salah satu daripada manifestasi warisan 'tangible' yang nak kita ketengahkan di peringkat dunia InsyaAllah.

"Kita dalam peringkat untuk pastikan bahawa hasrat kita untuk meningkatkan dan menaikkan salah satu daripada aset warisan ketara ini boleh diketengahkan," katanya.

Mohd Zamri berkata demikian kepada pemberita pada Festival Merakyatkan Seni dan Budaya di Jalan Harmoni, Jonker Walk Melaka.


(Festival Merakyatkan Seni dan Budaya di Jalan Harmoni, Jonker Walk Melaka yang berlangsung malam tadi)

Turut diadakan dalam festival ini ialah Kenduri Muhibbah berkonsepkan cara masyarakat Baba dan Nyonya dikenali sebagai “Tok” Panjang.

Ia adalah Meja Makan Panjang dalam istilah peranakan dengan pelbagai juadah halal dimasak cara peranakan Baba Nyonya yang mendominasi kawasan persiaran Jonker Walk.

Media Baharu