PELABUHAN KLANG, 12 Jun - Sebuah vesel nelayan tempatan kelas C ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, atas kesalahan melanggar syarat sah lesen di Kuala Selangor, malam tadi.
Penahanan dilakukan kira-kira pukul 9.50 malam oleh aset Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin di kedudukan 4.4 batu nautika barat daya Kuala Selangor.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong berusia 39 tahun bersama dua kru, masing-masing berusia 37 dan 53 tahun. Ketiga-tiga mereka merupakan warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa vesel berkenaan telah melakukan kesalahan dengan menangkap ikan di kawasan larangan iaitu kurang 12 batu nautika dari pantai,” jelas beliau dalam kenyataan.
Vesel, kru dan hasil tangkapan ikan campur seberat 150 kilogram telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya.
Kes kini disiasat bawah Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen.
Orang awam diminta menyalurkan sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut melalui talian Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 03-3176 0627 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.