fb fb fb fb fb

Tiada individu dilindungi berhubung kes kematian Zara Qairina

Kematian Zara Qairina: Fadhlina jamin tiada individu dilindungi KPM

KOTA BHARU, 3 Ogos - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa tiada siapa akan dilindungi berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir yang merupakan pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah.
 
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perhatian penuh akan diberikan kepada kes tersebut dan tindakan susulan akan diambil berdasarkan laporan siasatan yang dibuat oleh pihak polis.

''Kita menunggu laporan penuh dan sekiranya di peringkat KDN, lepas sahaja laporan siasatan kita perolehi dan ada tindakan di peringkat KPM yang harus dibuat.

"Kita tidak akan berlengah, tindakan akan diambil berdasarkan peraturan dan pastinya juga undang-undang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Kepada Murid Tingkatan Enam Semester Satu Tahun 2025, di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.
 
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Jabatan Peguam Negara akan menerima laporan lengkap siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina.
 
Katanya, isu kematian pelajar tersebut tidak seharusnya dipandang ringan, apatah lagi dijadikan alasan untuk menuduh sewenang-wenangnya atau menyerang individu tertentu termasuk Menteri Pendidikan.
 
Zara, 13 tahun, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada pukul 4 pagi, 16 Julai.

Mangsa dipercayai terjatuh, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
 
Kes kematian pelajar itu tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial.

ASHRIQ FAHMY AHMAD