MIRI, 3 Ogos – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ketika mencari sayur di kawasan hutan berhampiran Terminal Bas Baru Miri, ditemukan meninggal dunia petang tadi.
Mangsa, Upil Lutan, 44 tahun, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 3.34 petang dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mayat mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.
"Mayat diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut," menurut kenyataan itu.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5 petang susulan penemuan mayat mangsa.