fb fb fb fb fb

PMG MADANI 2025, persiap mahasiswa ke menara gading

PGM MADANI 2025, bantu persediaan mahasiswa ke menara gading/Foto Bernama

GOMBAK, 3 Ogos - Seramai 500 bakal mahasiswa menyertai Program Perkampungan Menara Gading (PMG) MADANI 2025, anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), sebagai persiapan menyeluruh sebelum melangkah ke alam pengajian tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, program ini bukan sekadar orientasi atau prauniversiti, tetapi platform untuk memperkukuh ketahanan mental, emosi dan spiritual generasi mahasiswa.

''Saya harapkan agar anak-anak mahasiswa-mahasiswi ini akan pulang ke tempat pengajian masing-masing dan membina semangat untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

''Pada masa sama, membantu kerajaan dalam membentuk satu masyarakat yang bukan sahaja cintakan ilmu pengetahuan tetapi mereka dapat menghayati nilai-nilai yang positif, akhlak yang baik, budi pekerti yang baik, melakukan perubahan diri dan juga buat perubahan pada orang lain.

"Seterusnya, dapat membentuk negara seperti mana yang diharapkan ‘baldatun tayyibatun warabbun ghafur," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Perkampungan Menara Gading MADANI 2025 di UIAM, Gombak Selangor. 

Tambahnya, program seumpama itu akan diperluaskan ke seluruh negara, dengan penambahan modul yang lebih mendalam berkaitan kepimpinan serta pemahaman terhadap gagasan Malaysia MADANI.

Pihaknya akan terus komited menyokong penganjuran program seumpama itu yang bukan sahaja membentuk anak muda menjadi individu terbaik, malah menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembinaan sahsiah.

ASHRIQ FAHMY AHMAD