fb fb fb fb fb

PRAB 2.0 didik, beri kesedaran kepada komuniti setempat

Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) 2.0 di Taman Pertanian Kilan

LABUAN, 12 Jun- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan selesai melaksanakan pembangunan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) 2.0 meliputi 10 lokasi stesen telemetri hujan, lima stesen aras air, satu unit kamera litar tertutup (CCTV) dan satu sistem amaran bencana banjir di Sungai Bangat.

Pengarah JPS Labuan, Ir. Teknologis Hayati Zainal berkata, inisiatif itu bagi mendidik dan memberikan kesedaran kepada komuniti setempat agar lebih cakna akan perubahan cuaca dan bencana khususnya apabila berdepan amaran banjir.

Kefahaman tepat terhadap sistem amaran mampu menghasilkan tindak balas tepat dan menyelamatkan nyawa serta harta benda.

"Jadi matlamat JPS sekarang ialah bekerjasama dengan komuniti. Kita beri maklumat secara data, jadi mereka bersedia dengan penduduk setempat. Itu harapan kita sekiranya berlaku cuaca  kalau musim cuaca akan datang.

"Kita harap dengan kesiapsiagaan kita daripada sistem ini dapat membantu komuniti supaya mereka bersedia lebih awal menghadapi banjir dan juga mungkin boleh bertindak sekiranya diperlukan untuk berpindah," katanya.

Pihaknya juga dalam usaha melakukan pembersihan sungai-sungai yang ada di pulau itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Hari Libat Urus dan Inovasi 2025 JPS Labuan di sini.

Sesi libat urus dan inovasi tersebut menjadi ruang kepada komuniti berkongsi permasalahan terus kepada wakil Sekretariat Pengurusan Bencana di Labuan.

Program itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek; Ketua Kampung serta Jawatankuasa Pembangunan dan Komuniti Kampung (JPKK).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI