KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Tiga individu dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini berhubung penyebaran video tular yang memaparkan pemberian sisa makanan kepada seorang gelandangan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan siasatan ke atas ketiga-tiga pempengaruh itu dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
"Kandungan tersebut dipercayai bersifat jelik melampau dan telah mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan warganet, selain menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini," menurut agensi menerusi kenyataan hari ini.
MCMC berkata, sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor pada hari ini.
"Sebanyak tiga (3) unit telefon bimbit dan tiga (3) keping kad SIM telah disita bagi membantu siasatan," katanya.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC memaklumkan pihaknya akan terus memperkukuh inisiatif literasi digital melalui Kempen Internet Selamat (KIS) bagi membentuk masyarakat yang celik digital, beretika dan bertanggungjawab.
Baru-baru ini tular sebuah video menunjukkan tiga lelaki memberikan sisa makanan dipercayai lebihan daripada pinggan mereka kepada seorang gelandangan, sambil dirakam untuk kandungan media sosial.
Video tersebut menimbulkan kemarahan dan kecaman meluas daripada warga maya.